Pastor Raymond Koh Masih Hilang?

Genap 7 tahun sejak Pastor Raymond Koh diculik, keberadaan beliau masih tidak diketahui.



Tanggal 13 Februari 2017 yang lalu, Pastor Raymond Koh telah diculik di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, Malaysia. Penculikan terancang rapi terhadap beliau terjadi hanya dalam 45 saat sahaja pada jam sekitar 10.45 pagi. Tonton rakaman CCTV yang secara tidak sengaja merakam kejadian penculikan beliau:


Menurut buku "Where is Pastor Raymond Koh?", beliau menerima Yesus sebagai Penyelamat ketika dalam umur 20-an. Hidupnya yang sebelum itu kaki judi tegar berubah serta-merta dan sejak itu beliau menyerahkan hidupnya kepada Yesus. Beliau mengahwini Susanna Liew pada tahun 1983, dan mempunyai 3 orang anak: Jonathan, Esther dan Elizabeth. 

Beliau begitu aktif dalam kerja sosial dalam kalangan golongan B40 melalui penubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Harapan Komuniti dan Inspirasi. Beliau mengalami tentangan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) apabila aktiviti Harapan Komuniti dilabel sebagai usaha pemurtadan dari agama Islam pada 3 Ogos 2011. 

Sejak Harapan Komuniti diserbu oleh pihak JAIS pada majlis kesyukuran makan malam NGO tersebut, Pastor Raymond Koh dan isteri telah mengalami ancaman bunuh dan juga dalam pengawasan pihak berkuasa polis dan imigresen. Tentangan yang beliau alami melalui kerja sosial beliau berlanjut sehingga beliau sendiri diculik.

Pada 3 April 2019, keputusan panel SUHAKAM mendapati beliau dan Amri Che Mat, yang juga merupakan seorang aktivis sosial, telah diculik oleh pihak polis sendiri. Pada tahun berikutnya, Susanna Liew memfailkan tuntutan mahkamah terhadap pihak polis, bekas Ketua Polis Negara (IGP) Fuzi Harun dan beberapa bekas pegawai tinggi polis terbabit dalam kes penculikan Pastor Raymond Koh. Kes tuntutan mahkamah ini masih berlansung sehingga saat ini, belum ada kesimpulannya. 

Tiada orang lain yang mungkin dapat memahami penderitaan seperti ini kecuali ahli keluarga terdekat mangsa. Sungguh, hanya TUHAN yang mampu memberi ketenangan dalam ribut masalah ini. Kita tidak tahu sama ada beliau masih hidup atau tidak, namun yang pasti rancangan TUHAN pasti tetap terjadi.

  

Apa yang boleh kita lakukan sebagai saudara dalam keluarga Kristus terhadap situasi ini?

Berdoa, satu hal yang pasti setiap kita dapat lakukan.

Filipi 4:6-7 AVB :  Jangan bimbangkan apa pun. Dalam segala hal, dengan berdoa dan memohon, dengan mengucapkan kesyukuran, beritahulah hasratmu kepada Allah. Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus.

Anda boleh masukkan perkara berikut dalam doa:-

  • Berdoa supaya Pastor Raymond Koh mendapat perlindungan, damai kesejahteraan dan kekuatan dalam Tuhan di mana dan bagaimana pun keadaan beliau saat ini. Dalams segala perkara, berdoa supaya TUHAN tetap bekerja menurut kehendak-Nya.
  • Berdoa supaya ahli keluarga beliau: isteri dan anak-anak serta saudara-mara yang lainnya mendapat damai kesejahteraan dalam cubaan yang mereka alami setelah terpaksa berpisah dari beliau selama 7 tahun
  • Berdoa untuk setiap orang yang hilang akibat penculikan dan pemerdagangan manusia, supaya TUHAN tetap menjaga dan melindungi setiap mereka dan menyelamatkan mereka dari penderitaan mereka, terutamanya keselamatan rohani mereka
  • Berdoa supaya penguatkuasa undang-undang dipakai Tuhan untuk menyelamatkan yang diculik dan menjadi mangsa pemerdagangan manusia, bukan sebaliknya
  • Berdoa supaya kasih Tuhan mencapai setiap orang yang terlibat dalam kes penculikan dan pemerdagangan manusia, supaya mereka bertaubat dan berhenti melakukan dosa serta perbuatan jahat mereka. Biar mereka diubahkan menjadi manusia baru dalam Kristus
Sumber:  Buku " Where is Pastor Raymond Koh?" oleh Stephen Ng & Lee Hwa Beng terbitan Semai Maju Sdn. Bhd. 

Catat Ulasan

0 Ulasan