Ayub 38:1-39:30
1 Kemudian dari angin ribut, TUHAN berfirman kepada Ayub,
2 "Siapakah engkau, sehingga berani menyoal hikmat-Ku dengan kata-kata yang bodoh dan kosong itu?
3 Sekarang, bersedialah untuk menghadapi Aku, dan jawablah soalan-soalan-Ku.
4 Adakah engkau hadir ketika Aku mencipta dunia? Jika engkau sangat pandai, jawablah.
5 Siapakah yang menentukan keluasan dunia? Siapakah yang merentangkan tali ukur untuk mengukurnya? Tahukah engkau jawapannya?
6 Apakah yang menyangga tiang-tiang bumi? Siapakah yang meletakkan batu penjuru dunia ini,
7 pada waktu bintang-bintang pagi bernyanyi bersama-sama, dan makhluk-makhluk syurga bersorak gembira?
8 Siapakah yang menutup pintu untuk membendung samudera ketika air memancar keluar dari rahim bumi?
9 Akulah yang meliputi laut dengan awan dan menyelimutinya dengan kegelapan.
10 Aku menentukan sempadan samudera dan dengan pintu berpalang Aku membendungnya.
11 Aku memberitahunya, ‘Hingga di sini sahaja, dan tidak lebih jauh lagi! Di sinilah ombakmu yang kuat mesti berhenti.’†
12 ¶ Hai Ayub, pernahkah dalam hidupmu engkau mendatangkan pagi, dan memerintah fajar merekah?
13 Pernahkah engkau menyuruh fajar menguasai bumi dan mengebas orang jahat dari tempat mereka bersembunyi?
14 Cahaya matahari menampakkan bukit dan lembah sejelas cap pada tanah liat dan lipatan pada jubah.
15 Cahaya matahari terlalu cerah untuk orang yang melakukan kejahatan, dan menghalang mereka daripada melakukan keganasan.
16 Pernahkah engkau turun ke sumber mata laut? Pernahkah engkau berjalan di dasar laut?
17 Pernahkah sesiapa menunjukkan pintu gerbang maut kepada kamu, pintu yang menutup alam maut yang gelap gelita itu?
18 Tahukah engkau keluasan dunia? Jawablah, jika engkau tahu segalanya.
19 Tahukah engkau asalnya cahaya? Tahukah engkau tempatnya kegelapan?
20 Dapatkah engkau menentukan batas di antara kegelapan dan cahaya, ataupun menghantar kedua-dua itu pulang setelah datang?
21 Engkau menyangka bahawa engkau tahu jawapan semuanya, seolah-olah engkau hadir ketika Aku menciptakan dunia; tentunya engkau sudah sangat tua!
22 Pernahkah engkau melawat ke gudang-gudang-Ku,
tempat Aku menyimpan salji dan hujan batu?
23 Aku menyediakannya untuk masa kesusahan, untuk hari pertempuran dan peperangan.
24 Pernahkah engkau pergi ke tempat matahari terbit, ataupun ke tempat asal angin timur?
25 ¶ Siapakah yang menggali terusan bagi hujan lebat,
dan menyediakan jalan untuk guruh dan kilat?
26 Siapakah yang menurunkan hujan ke tempat yang tidak didiami orang?
27 Siapakah yang membasahi tanah yang kering dan tandus, sehingga rumput di sana bertunas?
28 Adakah hujan mempunyai bapa kandung? Siapakah yang melahirkan embun?
29 Adakah air batu mempunyai ibu? Siapakah yang melahirkan embun beku?
30 Siapakah yang mengubah air menjadi batu dan menjadikan permukaan laut beku?
31 Dapatkah engkau memberkas gugusan Bintang Kartika,
ataupun melepaskan ikatan Bintang Orion?†
32 Dapatkah engkau membimbing bintang-bintang pada setiap musim,
dan menuntun Biduk Besar dan Biduk Kecil?
33 Tahukah engkau hukum-hukum di cakerawala, dan dapatkah engkau menerapkannya di dunia?
34 Dapatkah engkau meneriakkan perintah kepada awan,
dan menyuruhnya membasahi engkau dengan hujan?
35 Jika engkau memerintah kilat supaya sabung-menyabung,
adakah kilat datang kepadamu dan berkata, "Saya, tuan!"?
36 Siapakah yang memberitahu burung ibis bahawa Sungai Nil akan banjir? Siapakah yang memberitahu ayam jantan bahawa hujan akan turun?
37 Siapakah yang cukup bijak untuk mengira awan,
dan mencondongkannya sehingga mencurahkan hujan,
38 hujan yang mengeraskan debu menjadi gumpalan, dan tanah menjadi ketulan?
39 Dapatkah engkau memburu mangsa untuk singa, dan mengenyangkan anak singa,
40 apabila singa bersembunyi di dalam gua, atau menunggu mangsa di dalam sarangnya?
41 Siapakah yang memberi makan kepada gagak hitam ketika burung itu merayau mencari makanan, ketika anak-anak burung berseru kepada-Ku meminta makanan?
1 ¶ Tahukah engkau waktunya kambing gunung dilahirkan induknya? Pernahkah engkau melihat rusa liar melahirkan anaknya?
2 Tahukah engkau lamanya kambing dan rusa mengandung?
Tahukah engkau saatnya kelahiran anaknya?
3 Tahukah engkau waktunya binatang itu meringkuk, dan melahirkan anak?
4 Anak haiwan membesar dan menjadi kuat di hutan;
lalu pergi jauh dan tidak kembali kepada induknya.
5 Siapakah yang memberikan keldai liar kebebasan?
Siapakah yang melepaskan serta membiarkan keldai liar berkeliaran?
6 Akulah yang memberikan gurun kepada keldai liar sebagai kediamannya,
dan padang garam untuk tempat tinggalnya.
7 Keldai liar menjauhi kota yang riuh-rendah, dan tidak boleh dijinakkan untuk membuat kerja.
8 Padang rumput di gunung ialah tempat makanannya, di situ tumbuhan hijau dicarinya.
9 Mahukah lembu liar bekerja untukmu, atau rela bermalam di dalam kandang ternakmu?
10 Dapatkah lembu liar diikat dan dipaksa membajak untukmu,
atau digunakan untuk menggaru ladangmu?
11 Dapatkah engkau bergantung kepada tenaga lembu liar yang kuat dan mengharapkannya membuat kerjamu yang berat?
12 Adakah engkau mengharapkan lembu liar untuk mengumpulkan tuaian, dan membawa hasil tanamanmu ke tempat mengirik?
13 Sungguh cepat kepakan sayap burung unta! Tetapi burung unta tidak dapat terbang seperti burung bangau.
14 Burung unta bertelur di tanah lalu meninggalkannya, dan pasir memanaskan telurnya.
15 Burung unta tidak sedar bahawa mungkin orang memijak telurnya,
ataupun binatang liar memecahkan telurnya.
16 Burung unta bertindak seolah-olah telur itu bukan kepunyaannya,
dan tidak peduli bahawa usahanya sia-sia sahaja.
17 Akulah yang membuat burung unta bodoh dan bebal,
dan Aku tidak memberinya hikmat dan akal.
18 Tetapi apabila burung unta berlari dengan kencang, maka kalahlah kuda serta penunggang.
19 Hai Ayub, engkaukah yang memberikan tenaga kepada kuda, dan menjadikan surai yang melambai-lambai pada tengkuknya?
20 Engkaukah yang menyuruh kuda melompat seperti belalang dan dengan dengusnya menakutkan orang?
21 Kuda menghentak tanah di lembah dengan gembira, dan meluru ke medan pertempuran dengan sepenuh tenaga.
22 Kuda tidak tahu ertinya takut, dan tidak dapat diundurkan dengan pedang.
23 Senjata yang dibawa penunggangnya gemerincing dan gemerlapan kena cahaya.
24 Dengan semangat yang menyala-nyala kuda berlari, dan tidak dapat berdiri diam apabila trompet berbunyi.
25 Kuda berdengus setiap kali trompet dibunyikan; dari jauh tercium olehnya bau peperangan,
dan didengarnya perwira memekikkan arahan.
26 Adakah daripada engkau burung rajawali belajar terbang, ketika menuju ke selatan dengan sayap terkembang?
27 Adakah burung helang menantikan suruhanmu untuk membina sarangnya di gunung yang tinggi?
28 Di atas gunung batu yang tertinggi burung helang membina kediamannya, dan menjadikan puncak-puncak yang runcing sebagai kubunya.
29 Dari situ burung helang mengawasi segala arah, matanya mengintai mencari mangsa.
30 Di tempat yang ada bangkai, di situlah burung helang berkumpul; dan anak-anak helang meminum darah mangsa.
0 Ulasan