Hari Paskah 2020 disambut dengan kelainan

Pandemik COVID-19 telah memaksa hampir seluruh dunia berkurung tatkala Paskah tahun ini menjelma, namun tidak menghentikan kita daripada memperingati kebangkitan Tuhan Yesus!

paskah-easter

Saat ini, Malaysia juga sedang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 March 2020. PKP yang sepatutnya berakhir sehingga 1 April, kemudiannya berlanjut sehingga 14 April namun pengumuman yang terbaru daripada PM Muhyiddin Yassin mengumumkan lanjutan PKP sehingga 28 April 2020. Gereja sudah sedia maklum bahawa perhimpunan keagamaan secara besar-besaran tidak dibenarkan bahkan sebelum PKP dimulakan maka kebanyakan gereja mula beralih kepada kebaktian alam maya. Maka kebaktian mingguan Ahad, kebaktian Jumaat Agung dan Paskah kini dijalankan dalam alam maya.

Berkat dalam kepedihan: Erti Paskah menjadi lebih bermakna 

Virus COVID-19 telah menjangkiti 1.8 juta orang setakat hari ini dengan kematian melebihi 100 ribu orang di seluruh dunia. Bersamaan dengan pandemik ini, datangnya juga kematian disebabkan kelaparan bagi kebanyakan orang miskin yang hilang sumber pendapatan apabila negara-negara mengumumkan darurat atau perintah kuarantin selain PKP yang dijalankan di Malaysia. India juga telah menguatkuasakan penutupan seluruh negara sejak 24 March 2020. Sebanyak 1.3 billion penduduk India harus tinggal di dalam rumah selama 21 hari dan kemungkinan perintah itu akan dilanjutkan lagi. Negara yang kini mempunyai bilangan kes dan kematian tertinggi di dunia, Amerika Syarikat, pula telah menguatkuasakan perintah berkurung di rumah sejak bulan Mac. Ini bermaksud banyak tempat di seluruh dunia kini tidak berkumpul seperti yang selalunya terjadi tatkala Paskah menjelma. 

statistik-kes-covid-19
Bilangan kematian yang kini melebihi 100,000 ribu - Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia

Hari Paskah adalah hari di mana kebanyakan gereja akan dibanjiri selain Hari Krismas. Tidak semua mengerti erti sebenar Paskah meskipun ketika itu ramai yang menghadiri. Ini kerana tidak semua dapat mengerti sebesar mana pengorbanan Tuhan Yesus yang perlu mati di kayu salib untuk menyelamatkan kita.  Namun, ketika semua orang di seluruh dunia kini digentarkan dengan jangkitan virus COVID-19 ini, manusia sedar bahawa hal yang terjadi boleh jadi mematikan dalam sekelip mata. Semua orang mula sedar kematian bukan hal yang manusia boleh jangka ataupun elak dengan mudah. 

Pengkhotbah 3:14 - Semua yang dilakukan oleh Allah itu kekal. Manusia tidak dapat menambahnya, ataupun menguranginya. Allah bertindak demikian supaya kita menghormati Dia. 

Manusia mula merenung makna kehidupan mereka dan puji Tuhan, ada yang disedarkan Allah bahawa semua yang terjadi saat ini telah ditentukan oleh Allah. DAN ALLAH MELAKUKANNYA SUPAYA KITA TAHU DAN HORMAT AKAN DIA. Tapi terlebih lagi, adalah supaya manusia sedar bahawa mereka perlukan penyelamat. Keselamatan sejati hanya ada dalam Yesus Kristus, kita akan mendapat hidup yang kekal dengan percaya dan menerima Yesus sebagai Penyelamat kita. Pada masa itu, jika kita diserang jangkitan virus sekalipun, kita tidak perlu takut dan risau. Jika Tuhan menginginkan kita mati sekalipun, keselamatan kekal itu menjamin kita bahawa kita akan bersama Yesus Kristus di syurga saat kita mati. Yang penting adalah KITA MENDAPAT JAMINAN BAHAWA KITA ADA PENYELAMAT DAN BUKANNYA MATI BEGITU SAHAJA.

Bagaimana menerima Yesus Kristus sebagai Penyelamat? 

Doa dan percaya Tuhan mendengar anda : 
Tuhan Yesus, aku mengaku bahawa aku orang yang berdosa yang harus dihukum. Tapi aku percaya bahawa Engkau Yesus Kristus telah mati untuk menyelamatkan orang berdosa. Masuklah dalam hatiku sebagai Tuhan dan Penyelamatku. Ampunilah segala dosa-dosaku. Aku percaya bahawa dari saat ini aku mempunyai jaminan akan hidup kekal dalam Kerajaan Syurga. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa dan bersyukur. Haleluya! Amen. 

Nota kata: Ini merupakan terbitan pertama pada tahun 2020. Semoga ini memberkati anda semua. Terbitan lain akan menyusul.  

Catat Ulasan

0 Ulasan