Inilah senarai nenek moyang Yesus Kristus, keturunan Daud, keturunan Abraham.
Daripada Abraham hingga Raja Daud, nama-nama nenek moyang Yesus adalah seperti berikut: Abraham, Ishak, Yakub, Yehuda dan saudara-saudaranya, Peres dan Zerah (ibu mereka bernama Tamar), Hezron, Ram, Aminadab, Nahason, Salmon, Boas (ibunya Rahab), Obed (ibunya Rut), Isai, dan Raja Daud. (Matius 1:1-6)
sambungan kisah Raja Daud
Keberanian Daud mengalahkan Goliat serta-merta membuat Daud mahsyur. Ini juga menarik perhatian Yonatan, anak Raja Saul yang ingin menjadi sahabat karib kepada Daud. Raja Saul juga melantik Daud sebagai pegawai tentera. Baca kisah tersebut dalam 1 Samuel 18.
1Raja Saul dan Daud selesai bercakap-cakap. Selepas itu, putera Raja Saul yang bernama Yonatan sangat tertarik kepada Daud, dan mula mengasihinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri.
2Sejak hari itu, Raja Saul menyuruh Daud tinggal bersama-sama baginda, dan tidak membenarkan dia pulang ke rumah bapanya.
3Yonatan bersumpah untuk bersahabat dengan Daud selama-lamanya, kerana dia sangat mengasihi Daud.
4Yonatan menanggalkan jubah yang dipakainya lalu memberikannya kepada Daud. Dia juga memberikan pakaian perangnya, pedangnya, panahnya, dan tali pinggangnya kepada Daud.
5Daud berjaya dalam segala tugas yang diperintahkan oleh Raja Saul. Maka Raja Saul melantik dia menjadi pegawai tentera. Hal itu menyenangkan hati semua pegawai tentera dan anak buah Raja Saul.
Pada ketika ini, Raja Saul mula iri hati terhadap Daud.
6Apabila Daud kembali, setelah mengalahkan Goliat orang Filistin itu, dan para askar berbaris masuk ke dalam kota, kaum wanita keluar dari semua kota di Israel untuk menyambut Raja Saul. Mereka menyanyikan lagu-lagu gembira sambil menari-nari dengan memainkan tamburin dan kecapi.
7Sambil menari-nari para wanita menyanyi demikian, "Raja Saul membunuh beribu-ribu orang musuh, tetapi Daud membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh."
8Raja Saul tidak suka mendengar nyanyian itu, lalu baginda menjadi murka. Raja Saul bertitah, "Daud dianggap membunuh berpuluh-puluh ribu orang musuh, sedangkan beta hanya dianggap membunuh beribu-ribu orang musuh. Tidak lama lagi mereka akan menjadikan dia raja!"
9Sejak hari itu Raja Saul iri hati terhadap Daud.
10Keesokan harinya, Raja Saul berada di dalam rumah dan sedang memegang tombak. Tiba-tiba Raja Saul dirasuki roh jahat yang disuruh Allah, sehingga baginda mengamuk seperti orang gila. Pada masa itu Daud sedang bermain kecapi seperti biasa.
11"Aku tancapkan dia ke tembok itu," fikir Raja Saul, lalu baginda melemparkan tombak ke arah Daud sampai dua kali, tetapi Daud berjaya mengelakkannya.
12Raja Saul takut akan Daud kerana TUHAN menyertai Daud, tetapi TUHAN sudah meninggalkan Raja Saul.
13Maka Raja Saul memindahkan Daud dari lingkungan istana dengan melantiknya menjadi ketua pasukan seribu orang askar. Daud memimpin pasukannya dalam pertempuran,
14dan dia berjaya melaksanakan segala tugasnya kerana TUHAN menyertai dia.
15Raja Saul memperhatikan kejayaan Daud, dan hal itu menjadikannya bertambah takut akan Daud.
16Tetapi semua penduduk Israel dan Yehuda mengasihi Daud, kerana dia seorang pemimpin yang banyak jasa.
Raja Saul cuba membunuh Daud |
Daud berkahwin dengan puteri Raja Saul
17Raja Saul merancangkan supaya Daud dibunuh oleh orang Filistin dalam pertempuran supaya bukan Raja Saul sendiri yang membunuh dia. Oleh itu, pada suatu hari Raja Saul bertitah kepada Daud, "Merab, puteri sulung beta, akan beta jodohkan dengan kamu, asal saja kamu berkhidmat kepada beta sebagai askar yang berani dan taat, serta berperang untuk TUHAN."
18Daud menjawab, "Siapakah hamba ini, dan siapakah keluarga bapa hamba di Israel sehingga hamba menjadi menantu raja?"
19Tetapi apabila tiba masanya Merab dikahwinkan dengan Daud, Merab diserahkan kepada seorang lelaki lain yang bernama Adriel dari kota Mehola.
20Namun Mikhal, puteri Raja Saul yang lain, jatuh cinta kepada Daud. Apabila Raja Saul mendengar hal itu, baginda pun senang hati.
21Raja Saul berfikir, "Aku akan memberikan Mikhal kepada Daud supaya Daud terperangkap dan dibunuh oleh orang Filistin." Maka untuk kali yang kedua, Raja Saul bertitah kepada Daud, "Sekarang kamu akan menjadi menantu beta."
22Raja Saul menyuruh para pegawainya supaya dengan diam-diam memberitahu Daud demikian, "Raja berkenan kepadamu, dan semua pegawainya suka akan kamu; oleh itu sekaranglah masa yang tepat bagimu untuk berkahwin dengan puteri raja."
23Mereka menyampaikan hal itu kepada Daud, dan dia menjawab, "Adakah kamu fikir mudah untuk menjadi menantu raja? Aku orang miskin dan tidak penting!"
24Para pegawai itu menyampaikan jawapan Daud kepada Raja Saul,
25lalu Raja Saul menyuruh para pegawai memberitahu Daud pesan ini, "Satu-satunya yang dipinta oleh raja daripadamu sebagai mas kahwin adalah seratus kulit khatan orang Filistin, untuk membelas dendam terhadap musuhnya." (Inilah cara yang dicadangkan Raja Saul supaya Daud dibunuh oleh orang Filistin.)
26Para pegawai Raja Saul menyampaikan kata-kata Raja Saul kepada Daud, dan Daud gembira dengan tawaran menjadi menantu raja. Oleh itu, sebelum sampai hari perkahwinan yang sudah ditetapkan,
27Daud bersama-sama anak buahnya membunuh dua ratus orang Filistin; Daud mengambil kulit khatan mereka. Kemudian Daud menyerahkannya kepada raja tanpa kurang satu pun supaya dia dapat menjadi menantu raja. Oleh itu Raja Saul harus mengahwinkan puterinya Mikhal dengan Daud.
28Raja Saul sedar bahawa TUHAN menyertai Daud, dan Mikhal, puterinya mencintai Daud.
29Maka Raja Saul semakin takut akan Daud. Raja Saul memusuhi Daud sepanjang umurnya.
30Setiap kali tentera Filistin melancarkan serangan, Daud lebih berjaya mengalahkan mereka daripada para pegawai Raja Saul yang lain. Dengan demikian Daud menjadi semakin termasyhur.
Teruskan pembacaan kisah Raja Daud dalam Kisah Kebenaran 15. Anda akan membaca lebih lanjut tentang apa yang terjadi kepada Raja Daud selepas itu.
0 Ulasan