Mempunyai iman yang besar penuh kesederhanaan adalah lebih bermakna dan disukai Tuhan.
Mempunyai iman yang besar walaupun senang untuk disebut tetapi sangat sukar untuk dilakukan. Iman itu sendiri kadang-kadang sebagai orang Kristian diragu-ragukan. Namun begitu, Tuhan mengatakan hal yang berikut:
Ingatlah! Orang yang tidak menyambut Pemerintahan Allah seperti seorang anak, tidak akan menikmati Pemerintahan-Nya.
Lukas 18:17
atau dalam bahasa Inggeris:-
Mark this: Unless you accept God’s kingdom in the simplicity of a child, you’ll never get in.
Iman yang sederhana, yang simple seperti kanak-kanak kecil sangat disukai Tuhan. Ketika berdoa dan meminta kepada Tuhan, sesetengah daripada kita akan tertanya-tanya bagaimana Tuhan akan melakukan dan menjawab doa kita. Dalam kita meminta, masih lagi kita tertanya-tanya. Kenapa?
Seorang budak kecil kalau meminta kepada ibu atau bapanya untuk membelikan barang yang dia inginkan tidak pernah memikirkan kalau ibu atau bapanya itu mampu membelinya atau pun tidak. Dia meminta dengan cara yang dia boleh lakukan, menjerit, menangis dan merayu ibu atau ayahnya itu untuk membelikannya. Contoh ini bukanlah contoh yang bagus, tetapi begitulah iman seorang budak kecil. Apa yang pasti, ibu atau bapa budak tersebut pasti akan mengalah dan akhirnya akan membelikan barang tersebut lalu gembiralah budak kecil itu.
Kisah dalam Matius 8:5-13 menceritakan permintaan seorang ketua askar Roma yang memohon agar orang suruhannya sembuh. Dia hanya berkata , ..."Tuan tidak usah datang ke rumah. Saya tidak layak menyambut Tuan ke rumah saya. Perintahkanlah sahaja, tentu hamba saya akan sembuh."... atau dalam Alkitab versi Indonesia, ...katakan sepatah kata...Dia meminta Yesus untuk mengatakan hanya sepatah kata yang mana akan menyembuhkan orang suruhannya di rumah ketika itu tanpa perlu datang bertemu dengan orang suruhannya itu. Dia percaya bahawa Yesus sangat berkuasa untuk menyembuhkan orang suruhannya itu dari jauh.
Begitu hebatnya iman penuh kesederhanaan ini.
(Sumber: Pendeta Petrus Agung, siaran Rhema Radio)
0 Ulasan