Kisah Alkitab 13

Inilah senarai nenek moyang Yesus Kristus, keturunan Daud, keturunan Abraham. 

Daripada Abraham hingga Raja Daud, nama-nama nenek moyang Yesus adalah seperti berikut: Abraham, Ishak, Yakub, Yehuda dan saudara-saudaranya, Peres dan Zerah (ibu mereka bernama Tamar), Hezron, Ram, Aminadab, Nahason, Salmon, Boas (ibunya Rahab)Obed (ibunya Rut), Isai, dan Raja Daud. (Matius 1:1-6)

Raja Daud


Kisah Raja Daud seperti dalam Alkitab
Gambaran Raja Daud


Kisah Raja Daud terlalu banyak untuk dimuatkan dalam satu artikel, sebaiknya dibahagikan untuk memudahkan pembacaan.

Kisah raja Daud tercatat dalam Alkitab, bermula dengan perlantikannya sebagai raja oleh Nabi Samuel. Ketika itu, baginda dikatakan berumur dalam lingkungan 12-16 tahun. Bagaimana baginda dilantik telah diceritakan dalam arkitkel sebelumnya, Kisah Alkitab 12.

Selanjutnya, mari kita ketahui kisah raja Daud setelah Roh TUHAN menguasainya:-

14   Roh TUHAN meninggalkan Raja Saul, dan baginda diseksa oleh roh jahat yang disuruh oleh TUHAN.
15  Maka hamba-hamba Raja Saul berkata kepadanya, "Hamba sekalian tahu bahawa roh jahat yang disuruh oleh TUHAN menyeksa tuanku.
16  Jika tuanku setuju, hamba semua bersedia mencari seorang yang pandai bermain kecapi. Apabila tuanku diseksa oleh roh jahat, orang itu dapat memainkan kecapinya dan tuanku akan berasa tenang lagi."
17  Oleh itu Raja Saul memberikan perintah, "Carilah seorang yang pandai bermain muzik, dan bawalah dia ke mari."
18  Mendengar hal itu salah seorang hamba raja berkata, "Isai, orang Betlehem itu mempunyai seorang anak lelaki yang pandai bermain muzik. Dia juga seorang yang berani dan askar yang baik. Lagipun dia kacak dan pandai bercakap. TUHAN menyertai dia."
19  Kemudian Raja Saul mengutus orang kepada Isai dengan pesan, "Suruhlah anakmu Daud, yang menggembalakan domba itu datang menghadap beta."
20  Kemudian Isai menyediakan seekor keldai, lalu memuatinya dengan roti dan kirbat kulit yang penuh dengan wain; dia menyediakan juga seekor anak kambing. Semuanya itu diberikannya kepada Daud untuk dipersembahkan kepada Raja Saul.
21  Demikianlah Daud datang kepada Raja Saul dan berkhidmat kepada baginda. Raja Saul sangat suka kepada Daud, lalu memilih dia menjadi pembawa senjatanya.
22  Kemudian Raja Saul mengirim berita kepada Isai, "Beta suka kepada Daud. Benarkanlah dia tetap tinggal di sini dan berkhidmat kepada beta."
23  Sejak itu, setiap kali Raja Saul dirasuki roh jahat, Daud memainkan kecapinya. Kemudian roh jahat itu meninggalkan Raja Saul, lalu Raja Saul pun menjadi tenang dan baik semula.

1 Samuel 16:14-23

Menariknya, Raja Daud (ketika itu masih bergelar Daud) mendapat perhatian Raja Saul. Baginda masih tidak tahu bahawa Raja Daud akan mengambil alih pemerintahan baginda. Berminat untuk mengetahui apa terjadi seterusnya?

Setelah Daud dilantik oleh Nabi Samuel, diurapi dengan minyak sebagai tanda, dia berkhidmat sebagai pemain kecapi untuk Raja Saul. 

Ketika orang Filistin sedang dalam cubaan untuk bertempur terhadap mereka, Goliat, pahlawan gagah orang Filistin yang berketinggian kira-kira 3 meter datang mencabar mereka untuk melawan dia. Semua tentera orang Israel takut kepada Goliat, namun Daud tidak takut. 

Sebaik sahaja Daud mendengar Goliat datang untuk mencabar tentera orang Israel seperti kebiasaannya, Daud berkata dengan begitu yakin sekali, "Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!"

Malah dia telah menawarkan diri untuk berdepan dengan Goliat, (1 Samuel 17:32)
"Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia."

Hanya dengan menghumban sebiji batu dengan ali-ali disertai dengan nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel, Daud telah membunuh Goliat. Setelah dia memancung kepada Goliat, tentera Israel bersemangat untuk memerangi tentera Filistin dalam kemenangan.



Baca kisah lengkap mengenai Daud dan Goliat dalam 1 Samuel 17:-

1 ¶  Pada suatu masa orang Filistin mengerahkan tentera mereka untuk maju berperang, dan berkumpul di kota Sokho, di wilayah Yehuda. Mereka memasang perkhemahan di antara Sokho dan Azeka, dekat Efes-Damim.
2  Raja Saul dan orang Israel berkumpul juga dan berkhemah di Lembah Ela; mereka bersiap-siap untuk menghadapi serangan orang Filistin.
3  Orang Filistin berbaris di sebuah bukit, dan orang Israel berbaris di sebuah bukit yang lain, dan di antaranya ada lembah.
4  Seorang lelaki yang bernama Goliat, dari kota Gat, keluar dari perkhemahan Filistin untuk mencabar orang Israel. Tinggi orang itu kira-kira tiga meter.*
5  Dia memakai baju gangsa seberat kira-kira 57 kilogram, dan topi gangsa.
6  Kakinya dilindungi oleh penutup daripada gangsa dan di bahunya dia menyangkutkan sebatang lembing gangsa.
7  Gagang tombaknya sebesar kayu pada alat tenun dan mata tombaknya seberat kira-kira tujuh kilogram. Seorang askar pembawa perisai berjalan di hadapannya.
8  Goliat berdiri dan berteriak kepada orang Israel, "Apakah yang sedang kamu lakukan di situ? Hendak berperangkah kamu? Aku orang Filistin, hai hamba-hamba Raja Saul! Pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku.
9  Jika dia menang dan membunuh aku, kami akan menjadi hamba kamu. Tetapi jika aku menang dan membunuh dia, kamu akan menjadi hamba kami.
10  Sekarang juga, aku mencabar tentera Israel; pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku!"
11  Apabila Raja Saul dan tenteranya mendengar cabaran itu, mereka cemas dan sangat ketakutan.
12 ¶  Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem di Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak lelaki, dan pada masa pemerintahan Raja Saul, Isai sudah sangat tua.
13  Ketiga-tiga orang anak lelaki Isai yang tertua sudah mengikut Raja Saul pergi berperang. Anak Isai yang sulung bernama Eliab, yang kedua Abinadab, dan yang ketiga Syama.
14  Daud ialah anak bongsu Isai. Semasa ketiga-tiga abangnya tinggal bersama-sama Raja Saul,
15  Daud sering meninggalkan Raja Saul, lalu pulang ke Betlehem untuk menggembalakan domba bapanya.
16  Selama empat puluh hari, tiap-tiap pagi dan petang, Goliat menghampiri barisan tentera Israel dan mencabar mereka.
17  Pada suatu hari Isai berkata kepada Daud, "Bawalah sepuluh kilogram biji-bijian yang dipanggang dan sepuluh buku roti, lalu hantarlah semuanya kepada abang-abangmu di perkhemahan tentera.
18  Bawalah juga sepuluh buah keju bagi komandan pasukan. Tanyakanlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Bawalah sesuatu untuk membuktikan bahawa engkau sudah berjumpa dengan mereka, dan mereka dalam keadaan selamat.
19  Mereka berada di Lembah Ela bersama dengan Raja Saul dan semua orang Israel lain, yang sedang bertempur dengan orang Filistin."
20  Keesokan harinya, awal pagi, Daud bangun dan berkemas. Dia menyuruh orang lain menjaga domba. Kemudian dia membawa makanan itu lalu berangkat sebagaimana yang disuruh oleh Isai. Dia tiba di perkhemahan tepat ketika orang Israel sedang mengatur barisan sambil meneriakkan isyarat perang.
21  Tentera Filistin dan tentera Israel saling berhadapan dan bersiap-siap untuk bertempur.
22  Daud menitipkan makanan itu kepada penjaga perlengkapan tentera, lalu lari ke medan perang untuk berjumpa dengan abang-abangnya, dan menanyakan khabar mereka.
23  Tetapi ketika dia sedang bercakap dengan mereka, Goliat tampil lalu mencabar tentera Israel seperti yang biasa dilakukannya; Daud mendengar kata-kata cabarannya itu.
24  Apabila tentera Israel melihat Goliat, mereka lari ketakutan.
25  "Lihatlah dia!" kata mereka sesama sendiri. "Dengarlah cabarannya! Raja Saul sudah berjanji bahawa orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu, dan keluarga orang itu tidak perlu membayar cukai lagi."*
26  Daud bertanya kepada askar yang berada dekatnya, "Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan? Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!"
27  Mereka memberitahu Daud akan hadiah yang diberikan kepada orang yang dapat membunuh Goliat.
28  Eliab, abang sulung Daud, mendengar percakapan Daud dengan askar-askar itu. Dia memarahi Daud, dan berkata, "Mengapa engkau datang ke mari? Siapa yang kausuruh menjaga domba-dombamu di padang gurun itu? Aku tahu, engkau budak jahat, dan berlagak berani; kaudatang ke mari hanya untuk melihat pertempuran, bukan?"
29  "Apakah salahku? Aku hanya bertanya," jawab Daud.
30  Kemudian dia pergi dan menanyakan hal yang sama kepada askar-askar lain, dan dia mendapat jawapan yang sama.
31 ¶  Tetapi beberapa orang yang mendengar kata-kata Daud, menyampaikannya kepada Raja Saul, lalu Raja Saul memanggil Daud menghadap.
32  Daud berkata kepada Raja Saul, "Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia."
33  "Jangan," jawab Raja Saul. "Bagaimana mungkin engkau dapat melawan dia? Engkau masih sangat muda, sedangkan dia telah biasa berperang sejak masa mudanya."
34  Tetapi Daud berkata, "Tuanku, hamba biasa menggembalakan domba bapa hamba. Apabila ada singa atau beruang datang menerkam domba,
35  hamba mengejar dan menyerang binatang buas itu, lalu domba itu hamba selamatkan. Jika singa atau beruang itu melawan, hamba memegang lehernya, lalu memukulnya sampai mati.
36  Hamba sudah membunuh singa mahupun beruang, dan orang Filistin yang tidak mengenal Allah itu, juga akan hamba perlakukan seperti binatang itu, kerana dia berani mencabar tentera Allah yang hidup.
37  TUHAN sudah menyelamatkan hamba daripada singa dan beruang; Dia juga akan menyelamatkan hamba daripada orang Filistin itu." "Baiklah," titah Raja Saul. "Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau."
38  Raja Saul memberikan pakaian perangnya kepada Daud untuk dipakainya: sebuah topi gangsa yang dikenakannya pada kepala Daud, dan sepasang baju besi.
39  Kemudian Daud mengikatkan pedang Raja Saul pada baju besi itu lalu cuba berjalan. Tetapi Daud tidak dapat berjalan, kerana dia tidak biasa memakai pakaian perang. "Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini," katanya kepada Raja Saul. "Hamba tidak biasa memakainya." Lalu Daud menanggalkan seluruh pakaian perang itu.
40 ¶  Kemudian dia membawa tongkat gembalanya, dan mengambil lima biji batu yang bulat dari sungai, lalu menyimpan batu itu di dalam kantongnya. Dengan ali-ali siap di tangannya dia pergi menghadapi Goliat.
41  Kemudian Goliat mula berjalan ke arah Daud, didahului oleh pembawa perisainya. Dia terus mendekati Daud,
42  tetapi ketika dia nampak Daud dan memperhatikannya, Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda dan kacak.
43  Goliat berkata kepada Daud, "Untuk apakah tongkat itu? Adakah engkau fikir aku ini anjing?" Goliat mengutuk Daud demi dewanya.
44  "Mari," katanya lagi untuk mencabar Daud, "Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!"
45  Daud berkata, "Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel, yang engkau hina itu.
46  Hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan mengalahkan engkau dan memenggal kepalamu. Aku akan memberikan tubuh tentera Filistin kepada burung dan binatang supaya dimakan. Dengan demikian seluruh dunia akan tahu bahawa kami, bangsa Israel mempunyai Allah.
47  Semua orang di sini akan melihat bahawa TUHAN tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan umat-Nya. Dia sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami."
51  Daud berlari kepada Goliat dan berdiri di sisi tubuhnya. Dia menghunus pedang Goliat dari sarung lalu memancung kepala Goliat; begitulah Daud membunuh Goliat. Apabila orang Filistin nampak bahawa pahlawan mereka sudah mati, mereka lari.
52  Orang Israel dan Yehuda bersorak, lalu mengejar mereka sampai ke Gat dan pintu gerbang Ekron. Orang Filistin yang terluka bergelimpangan sepanjang jalan ke Saaraim, sampai ke Gat dan Ekron.
53  Setelah kembali daripada mengejar orang Filistin, orang Israel menjarah perkhemahan orang Filistin.
54  Daud mengambil kepala Goliat dan membawanya ke Yerusalem, tetapi dia menyimpan senjata Goliat di khemahnya.



Sepanjang hidupnya, baginda hanya menjadi gembala domba (sebelum diurapi) dan pemain kecapi untuk Raja Saul, setelah itu. Hidup baginda dilihat tidak selesa mana, baginda tidak dimanjakan dan dilayani. Bahkan baginda harus melayani keluarganya namun Raja Daud dilihat positif mengambil pengajaran dalam segala perbuatannya. Dia menjadi kuat disebabkan itu, berbanding dengan 3 abang-abangnya yang dipanggil untuk menjadi tentera. Ketiga-tiga abangnya, iaitu Eliab, Abinadab dan Syama ada dalam kalangan tentera Isarel yang dalam barisan perang berhadapan tentera Filistin ketika Daud mengalahkan Goliat.

Teruskan pembelajaran anda mengenai Raja Daud, satu-satunya Raja yang begitu berkenan di mata Tuhan sebagai salah satu moyang duniawi Yesus dalam siri seterusnya; Kisah Alkitab 14.

Catat Ulasan

0 Ulasan