Jangan Berhenti

TERUSKAN PERJUANGANMU

Selagi kita hidup di dunia ini, perjuangan dan pekerjaan kita belum selesai. Lakukan lebih lagi, jangan berhenti separuh jalan dan menyangka kita sudah selesai melakukanya. Iblis mencari peluang untuk menghancurkan kita selagi kita masih bernafas.

Alkitab menceritakan kisah Yosua yang dalam usaha berperang melawan penduduk Kanaan, tempat yang dijanjikan oleh Tuhan untuk bangsa Israel. Baca sendiri kisah tersebut:-

Yosua 10:1-21

1  Raja Adoni-Zedek, penguasa Yerusalem, mendengar bahawa Yosua telah merebut Ai dan sama sekali memusnahkan kota itu, dan bahawa dia telah membunuh raja Ai seperti yang dilakukannya terhadap kota Yerikho dan rajanya. Raja itu mendengar juga bahawa orang Gibeon telah membuat perjanjian damai dengan umat Israel dan sekarang orang Gibeon tinggal bersama-sama umat Israel.
2  Penduduk Yerusalem sangat takut kerana Gibeon adalah kota yang besar, sama besarnya dengan kota-kota lain yang mempunyai raja. Kota Gibeon lebih besar daripada kota Ai dan orang Gibeon pejuang yang handal.
3  Oleh itu Raja Adoni-Zedek mengirim pesan berikut kepada Raja Hoham dari Hebron, Raja Piream dari Yarmut, Raja Yafia dari Lakhis, dan Raja Debir dari Eglon,
4  "Marilah tolong beta menyerang Gibeon, kerana penduduknya telah membuat perjanjian damai dengan Yosua dan umat Israel."
5  Kelima-lima orang raja Amori itu, iaitu raja dari Yerusalem, Hebron, Yarmut, Lakhis, dan Eglon datang dengan semua tentera mereka, lalu mengepung dan menyerang Gibeon.
6  Orang Gibeon mengirimkan berita ini kepada Yosua di perkhemahan di Gilgal, "Tuan, janganlah tinggalkan kami! Marilah tolong kami dengan segera! Selamatkanlah kami! Semua raja orang Amori di perbukitan telah bergabung dan menyerang kami!"
7  Oleh itu Yosua dan seluruh tenteranya, termasuk pasukannya yang terbaik berangkat dari Gilgal.
8  TUHAN berfirman kepada Yosua, "Janganlah takut akan mereka. Aku telah memberi engkau kemenangan. Tidak seorang pun daripada mereka akan dapat menentang engkau."
9  Sepanjang malam Yosua dan tenteranya berjalan dari Gilgal menuju ke Gibeon, lalu mereka menyerang orang Amori secara mendadak.
10  TUHAN menyebabkan orang Amori cemas apabila melihat tentera Israel. Orang Israel membunuh mereka di Gibeon dan mengejar musuh yang masih hidup, ke genting gunung di Bet-Horon sampai ke Azeka dan Makeda di selatan.
11  Ketika orang Amori lari daripada umat Israel melalui genting gunung, TUHAN menurunkan hujan batu ke atas mereka sepanjang jalan sampai ke Azeka, sehingga lebih banyak orang yang terbunuh oleh hujan batu daripada yang dibunuh oleh orang Israel.
12  Pada hari TUHAN memberikan kemenangan kepada umat Israel terhadap orang Amori, Yosua bercakap dengan TUHAN. Di hadapan umat Israel Yosua berkata, "Hai matahari, berhentilah di atas Gibeon. Hai bulan, berhentilah di atas Lembah Ayalon."
13  Matahari berhenti dan bulan pun tidak bergerak sehingga umat Israel telah mengalahkan musuh mereka. Kisah ini tertulis di dalam Kitab Yasar. Matahari berhenti di tengah-tengah langit sehari suntuk, dan lama sekali barulah matahari terbenam pada hari itu.
14  Baik pada masa lampau mahupun sejak hari itu, hal seperti itu tidak pernah berlaku apabila TUHAN menurut keinginan manusia. Pada hari itu TUHAN berperang bagi pihak umat Israel.
15  Selepas itu Yosua dan tenteranya kembali ke perkhemahan di Gilgal.
16  Tetapi lima orang raja Amori itu melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah gua di Makeda.
17  Apabila mereka dijumpai, Yosua diberitahu tempat persembunyian mereka.
18  Yosua berkata, "Gulingkanlah batu-batu besar ke mulut gua itu. Tugaskan beberapa orang pengawal di situ,
19  tetapi jangan kamu berhenti di tempat itu. Kejarlah musuh dan seranglah mereka dari belakang. Jangan biar mereka masuk ke kota mereka! TUHAN, Allah kamu telah memberi kamu kemenangan atas mereka."
20  Yosua dan umat Israel membunuh orang Amori, walaupun ada beberapa orang yang berjaya menyelamatkan diri di dalam kota mereka sehingga tidak dibunuh.
21  Selepas itu seluruh tentera Israel kembali dengan selamat kepada Yosua di Makeda. Tiada sesiapa pun di negeri itu yang berani bersuara menentang umat Israel.

Daripada cerita tersebut, Tuhan telah menolong orang Israel dalam peperanga mereka melawan orang Amori. Dia telah menurunkan hujan batu untuk membunuh orang Amori tersebut, malah mendengar perintah Yosua untuk menghentikan matahari dan bulan daripada bergerak. Tuhan telah membantu banyak dalam peperangan ini dan Yosua sudah boleh berhenti berperang apabila dia mengepung kelima-lima raja yang bersembunyi di dalam gua di Makeda. Namun, dia dan perajurit-perajuritnya tidak berhenti di gua tersebut. Mereka telah dijanjikan dengan kemenangan yang besar, oleh itu, mereka harus mengalahkan semua musuh mereka!

Oleh itu, dalam kita menempuh tahun baru ini, segala perkara yang kita lakukan untuk Tuhan harus diteruskan. Bukan dengan kekuatan kita sendiri, dengan rahmat dan kekuatan yang Dia telah anugerahkan.

"Jangan takut ataupun tawar hati. Kamu mesti yakin dan berani..." 
Yosua 10:25

Jangan berhenti berjuang!






(Sumber : Dr Chew, khotbah Ahad SIBKL, Kuala Lumpur)

Catat Ulasan

0 Ulasan