Inilah senarai nenek moyang Yesus Kristus, keturunan Daud, keturunan Abraham. 

Daripada Abraham hingga Raja Daud, nama-nama nenek moyang Yesus adalah seperti berikut: Abraham, Ishak, Yakub, Yehuda dan saudara-saudaranya, Peres dan Zerah (ibu mereka bernama Tamar), Hezron, Ram, Aminadab, Nahason, Salmon, Boas (ibunya Rahab)Obed (ibunya Rut), Isai, dan Raja Daud. (Matius 1:1-6)

Daud menjadi Raja atas Yehuda
Daud menjadi Raja

sambungan Raja Daud


Daud menjadi raja setelah Saul meninggal dunia. Walau bagaimanapun, Raja Daud bermula hanya dengan menjadi raja Yehuda selama 7 tahun setengah. Baginda memerintah di Hebron. Sementara itu, Isyboset yang merupakan putera raja Saul menjadi raja atas Israel selama 2 tahun atas sokongan Abner anak Ner, panglima tentera Raja Saul. Setelah Raja Isyboset dibunuh, Raja Daud akhirnya menjadi raja Israel. Baginda kemudiannya memerintah di Yerusalem sebagai raja di seluruh Israel dan Yehuda selama 33 tahun.


2 Samuel 2:1-11

Daud Dilantik Menjadi Raja Yehuda

1. Selepas itu Daud bertanya kepada TUHAN, “Adakah TUHAN menghendaki aku pergi menguasai salah sebuah kota di Yehuda?”“Ya,” jawab TUHAN.“Kota yang mana?” tanya Daud.“Hebron,” jawab TUHAN.

2. Oleh itu Daud pergi ke Hebron dan membawa kedua-dua isterinya: Ahinoam dari Yizreel, dan Abigail, balu Nabal, orang Karmel itu.

3. Daud juga membawa anak buahnya dan semua keluarga mereka, lalu menetap di kota Hebron dan di sekitarnya.

4. Kemudian orang Yehuda datang ke Hebron, dan dengan upacara pelumuran minyak, mereka melantik Daud menjadi raja Yehuda.Apabila Raja Daud mendengar bahawa penduduk Yabes di Gilead sudah memakamkan jenazah Raja Saul,

5. Raja Daud mengirim utusan ke sana dengan pesan, “Semoga TUHAN memberkati kamu kerana menunjukkan kesetiaan terhadap raja kamu dengan memakamkan jenazah baginda.

6. Oleh itu, semoga TUHAN juga menyatakan kasih dan kesetiaan-Nya kepada kamu. Beta pun akan memperlakukan kamu dengan baik kerana perbuatan kamu itu.

7. Hendaklah kamu kuat dan tabah hati! Raja Saul, raja kamu sudah mangkat, tetapi orang Yehuda telah melantik beta menjadi raja mereka.”

Isyboset Dilantik Menjadi Raja Israel

8. Abner anak Ner, panglima tentera Raja Saul, telah melarikan diri dengan Isyboset, putera Raja Saul ke Mahanaim, di seberang Sungai Yordan.

9. Di sana, Abner melantik Isyboset menjadi raja kawasan Gilead, Asyer, Yizreel, Efraim, dan Benyamin, bahkan seluruh Israel.

10. Raja Isyboset berusia empat puluh tahun ketika baginda menjadi raja Israel. Baginda memerintah selama dua tahun.Tetapi suku Yehuda setia kepada Raja Daud;

11. dari kota Hebron, Raja Daud memerintah Yehuda selama tujuh tahun setengah.

2 Samuel 5:1-5

Raja Daud Menjadi Raja Israel dan Yehuda

1. Kemudian semua suku Israel menghadap Raja Daud di Hebron. Mereka berkata kepada baginda, “Kami ini kerabat tuanku.

2. Sejak dahulu, bahkan ketika Raja Saul masih raja kami, tuanku telah pun memimpin tentera Israel berperang. TUHAN juga sudah berjanji kepada tuanku bahawa tuanku akan memimpin umat-Nya dan menjadi raja mereka.”

3. Demikianlah semua pemimpin Israel menghadap Raja Daud di Hebron. Raja Daud mengadakan perjanjian dengan mereka, lalu mereka melantik baginda menjadi raja Israel.

4. Raja Daud berusia tiga puluh tahun ketika menjadi raja, dan baginda memerintah selama empat puluh tahun.

5. Baginda memerintah di Hebron sebagai raja Yehuda selama tujuh tahun setengah, dan di Yerusalem sebagai raja seluruh Israel dan Yehuda selama tiga puluh tiga tahun.


Akhir Hidup Raja Daud

Hidup Raja Daud ada naik dan turunnya. Baginda juga pernah jatuh dalam dosa namun baginda kembali kepada TUHAN dan TUHAN masih mengasihi baginda. Baginda juga mempunyai masalah besar dalam keluarganya dan setelah itu membawa kepada putera baginda sendiri merampas takhta baginda. Namun TUHAN sentiasa berkenan kepada baginda maka baginda kembali bertakhta sebagai raja atas Israel dan Yehuda. 

1 Raja-Raja 2:10-12

10. Raja Daud mangkat dan dimakamkan di Kota Daud.

11. Baginda menjadi raja Israel selama empat puluh tahun: baginda memerintah di Hebron selama tujuh tahun, dan di Yerusalem selama tiga puluh tiga tahun.

12. Kemudian Raja Salomo menjadi raja menggantikan Raja Daud, ayahandanya. Kekuasaan Raja Salomo sebagai raja menjadi kukuh.


Setelah Raja Daud mangkat, Salomo diangkat menjadi pewaris baginda. Pelajari kisah hidup Salomo dalam Kisah Alkitab 17.