Janji Tuhan

MENUNGGU JANJI TUHAN UNTUK DIKOTAKANNYA

Sejak saya berdoa meminta kepada Tuhan agar keperluan kewangan saya dipenuhi, saya seolah-olah mendapat satu janji bahawa Tuhan akan menunaikannya, pada waktu yang saya sendiri tidak ketahui. Sampai sekarang saya belum mendapat pertolongan, hutang masih belum dibayar, barang keperluan belum dibeli dan wang saku semakin menipis. Namun, sebagai anak Tuhan yang sudah diberikan janji yang pasti akan ditunaikan Tuhan, saya hanya mahu percaya. 

Saya sedar hidup sebagai seorang pelajar universiti menambah satu lagi tahap iman saya, kepercayaan saya kepada Tuhan Yesus. Apatah lagi, saya tinggal jauh dari keluarga. Bila difikirkan semula, sejak saya mulakan kehidupan keseorangan di universiti, saya tidak pernah kekurangan apapun. Semuanya kerana Tuhan yang memberkati segalanya. Saya tidak ada simpanan pun untuk teruskan pelajaran saya. Dengan tiba-tiba, Tuhan sediakan semua keperluan saya dengan memberkati pekerjaan kakak saya sehingga dia mampu menolong saya dari segi kewangan.

Janji Tuhan ibarat sekeping cek, menurut Pendeta Obaja Tanto Setiawan. Nama kita sebagai penerima dan nama Tuhan sebagai pemberi, bahkan tandatangan untuk mengesahkan cek tersebut juga sudah diletak. Namun, tarikhnya belum ditulis, hanya ditulis bila masanya sudah tiba. Begitu juga dengan janji Tuhan, Dia sudah menjanjikannya namun Dia akan memberikannya pada masa yang tepat. Sebagaimana cek yang selagi belum patut ditunaikan anda bawa juga ke bank untuk ditunaikan, maka pegawai bank akan menolak anda dan tidak memperakukan cek tersebut, anda juga akan ditolak sebab belum waktunya. Tunggulah sehingga masanya sesuai maka Tuhan sendiri yang akan menjalankan janjinya tepat pada masanya. Jangan kerana ketidaksabaran, anda terus mengoyakkan cek tersebut!


Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup.
Mazmur 119:50

Kuatkanlah aku menurut janji-Mu, agar aku hidup; 
jangan biarkan aku dikecewakan dalam harapanku!
Mazmur 119:16






Catat Ulasan

0 Ulasan