KAWAL EMOSI ANDA
KHOTBAH DARIPADA PASTOR PETER TAN-CHI
Christ's Commission Fellowship (CCF) - 2 Ogos 2011
Apabila realiti yang kita hadapi tidak seperti yang kita harapkan, kita akan mengalami kekecewaan. Bukanlah mudah menerima kekecewaan tersebut namun sebagai manusia, kita tidak lari daripada mengalaminya. Menjadi kebiasaan tabiat manusia untuk menyalahkan orang lain, keadaan di sekeliling dan perkara-perkara lain akibat daripada kekecewaan yang kita alami. Namun begitu, Alkitab mengatakan hal yang sebaliknya, Kita boleh mengubah kekecewaan yang kita alami sebagai suatu berkat dalam hidup kita.
Satu hal yang harus disedari tatkala kita mengalami kekecewaan, iaitu untuk merendahkan diri kepada Tuhan, mengakui dosa yang menyebabkan kita kecewa. Kekecewaan terjadi apabila agenda kita tidak dicapai, apabila apa yang kita harapkan tidak seperti yang kita harapkan. Namun Tuhan tahu apa yang kita harapkan itu, dia tahu apa yang ada di sebalik agenda kita. Yakobus 4:2-3 terus terang mengatakan, jikalau kita tidak mendapat apa yang kita inginkan, sama ada kita tidak berdoa atau pun tujuan kita salah (ayat 3: Apabila kamu memintanya, kamu tidak mendapatnya, kerana tujuan kamu jahat. Apa yang kamu minta itu untuk kesenangan diri sendiri. )
Lalu, BAGAIMANA KITA DAPAT MENGATASI KEKECEWAAN INI?
Jawapannya, KAWAL EMOSI ANDA. Utamakan Tuhan Yesus dalam hidupmu. Anda tidak akan mampu untuk mengawal emosi anda dengan kekuatan anda sendiri, tidak kira sekuat mana pun anda. Anda pasti mengalami situasi di mana semua hal buruk menimpa anda dan ketika itu, jikalau anda bergantung kepada kekuatan sendiri, anda tidak akan mampu. Hanya seorang yang dapat, dialah Yesus.BAGAIMANA PULA CARANYA UNTUK MENGAWAL EMOSI?
Pertama: Berdoa.
Kedua: Bersabar.
Ketiga: Bersyukur.
Daud, seorang raja yang sangat berkenan di mata Tuhan. Alkitab ada menceritakan sejarah mengenai dia, sang raja yang hebat ini. Di dalam Alkitab juga ada ditulis Mazmur yang kebanyakannya dikarang dan dinyanyikan oleh Daud sendiri. Dia merupakan seorang karakter yang boleh dijadikan contoh dalam hal mengawal emosi. Perlu diingatkan dia bukanlah contoh terbaik yang ada dalam Alkitab, Daud juga pernah berdosa.
Berdoa
Daud berdoa sepanjang masa, tidak kira ketika dia kecewa, sedih, gembira mahupun ketika dia keseorangan menjaga domba peliharaannya. Di dalam Mazmur ada dicatat doa-doa Daud kepada Tuhan. Antara contoh yang boleh dirujuk adalah Mazmur 56:4-5 ; Ketika aku takut, ya Allah Yang Maha Kuasa, aku berharap kepada-Mu. Aku percaya kepada Allah dan aku tidak takut; aku memuji Dia kerana janji-Nya.
Juga dinyatakan contoh dalam 1 Samuel 30:8 ; ...Daud bertanya kepada TUHAN, "Haruskah
aku mengejar perompak-perompak itu?...Ini juga merupakan suatu doa di mana Daud bertanya sendiri kepada Tuhan dan dia bertindak seperti yang dijawab oleh Tuhan.
Bersabar
Daud sudah tahu dia akan menjadi raja sejak dia diurapi oleh Samuel (1 Samuel 16:12-13). Dia tahu dia akan menjadi raja sebelum masuk ke dalam istana melayani Saul yang memerintah sebagai raja ketika itu (1 Samuel 16: 14-23). Walaupun dia mungkin tidak melihat harapan untuk menjadi raja kerana setelah kemenangannya melawan Goliat dan kebaikannya membantu Saul untuk mengalahkan musuh dalam peperangan, Saul membenci Daud dan ingin membunuh dia pula. Daud bersabar menunggu waktu dia benar-benar diangkat menjadi raja. Dia boleh terus membunuh Saul kerana peluang untuk membunuh Saul terbuka sebanyak dua kali namun dia tidak menggunakan peluang tersebut. Dia setia menunggu waktu yang dijanjikan Tuhan tanpa perlu menggunakan tangannya sendiri untuk membunuh Saul dan merampas takhta.
Bersyukur
Daud sentiasa mengucap syukur kepada Tuhan, bahkan sebelum perkara yang dia harapkan terjadi. Kebiasaan kita adalah untuk berterima kasih cuma setelah melihat atau menerima sesuatu yang baik daripada seseorang. Pernahkah kita berterima kasih jika kita tidak menerima apa-apa pun daripada orang lain? Mungkin tidak seorang pun pernah melakukan hal tersebut. Daud berterima kasih kepada Tuhan, banyak dicatat dalam Mazmur, walaupun dia belum menerima kemenangan atau belum melihat apa-apa pun kerana dia tahu Tuhan pasti akan memberikan hal yang dia inginkan. Sifat sebeginilah yang amat berkenan di mata Tuhan Yesus. Dalam Mazmur 27:4, Daud bernyanyi ; Aku telah memohon satu perkara kepada TUHAN; hanya satu yang aku minta; untuk tinggal di dalam Rumah TUHAN sepanjang hidupku, untuk menyaksikan segala kebaikan-Nya, dan meminta bimbingan-Nya.
Renungan : If you do not have God, you have nothing.
But if you have God, you have everything.
Pastor Peter Tan-Chi merupakan pengasas gereja CCF yang semakin berkembang di Filipina. CCF berpegang teguh pada dasar Firman Tuhan, iaitu Amanat Agung yang disampaikan melalui Matius 28:19-20 ; "Pergilah kepada semua bangsa di seluruh dunia dan jadikanlah mereka pengikut-Ku. Baptislah mereka dengan menyebut nama Bapa, Anak dan Roh Allah. Ajarlah mereka mentaati segala yang sudah Aku perintahkan. Ingalah, Aku akan sentiasa menyertai kamu sehingga akhir zaman."
0 Ulasan