Kisah Alkitab 9

Inilah senarai nenek moyang Yesus Kristus, keturunan Daud, keturunan Abraham. 

Daripada Abraham hingga Raja Daud, nama-nama nenek moyang Yesus adalah seperti berikut: Abraham, Ishak, Yakub, Yehuda dan saudara-saudaranya, Peres dan Zerah (ibu mereka bernama Tamar), Hezron, Ram, Aminadab, Nahason, Salmon ... (Matius 1:1-5)

Salmon

Salmon merupakan antara orang-orang yang ikut Yosua melangkah ke tanah perjanjian seperti yang telah dikatakan Tuhan melalui Musa dalam Bilangan 14:31-33:

31  Kamu berkata bahawa anak-anak kamu akan ditawan, tetapi merekalah yang akan Kubawa ke tanah yang kamu tolak. Tanah itu akan menjadi tempat tinggal mereka,
32  tetapi kamu akan mati di padang gurun ini.
33  Anak-anak kamu akan mengembara di padang gurun selama empat puluh tahun. Kerana kamu tidak setia, anak-anak kamu itu akan sengsara, sehingga kamu semua mati.


Menariknya, dia mengahwini Rahab, seorang pelacur berbangsa asing. Rahab merupakan seorang lagi tokoh wanita yang disebutkan dalam sulur galur keturunan Yesus Kristus. Keperibadian dan kisahnya amat istimewa sehingga tercatat di dalam Alkitab, Perjanjian Baru dan Lama. Rahab telah dirancang Tuahn untuk menjadi yang terpilih, salah seorang nenek moyang Yesus daripada semua penduduk kota Yerikho.

Rahab percaya kepada Tuhan (Yosua 2:11 - TUHAN, Allah kamu sesungguhnya Allah yang berkuasa di langit dan di bumi.) dan dialah juga yang menyelamatkan seisi keluarganya. (Yosua 2:13 - Berjanjilah kepadaku bahawa kamu akan menyelamatkan ibu bapaku dan saudara-saudaraku lelaki dan perempuan, serta semua keluarga mereka. Janganlah biarkan kami dibunuh!")

Salmon mungkin tidak mempunyai apa-apa rekod di dalam Alkitab namun tindakannya mengahwini Rahab, orang luar yang dikatakan amat berdosa memandangkan dia seorang perempuan pelacur. Buku Yosua menceritakan kisah Rahab seperti berikut:-

Rahab, bekas pelacur yang akhirnya termasuk dalam senarai susur-galur Yesus

Yosua 2

Kemudian Yosua mengirim dua orang pengintip dari perkhemahan di Sitim ke Kanaan. Mereka diperintah supaya menjelajah tanah Kanaan untuk menyelidikinya dengan sembunyi-sembunyi, terutama sekali kota Yerikho. Apabila mereka sampai di kota itu, mereka menginap di rumah seorang perempuan pelacur yang bernama Rahab. Raja Yerikho diberitahu bahawa beberapa orang Israel telah datang pada malam itu untuk mengintip negerinya.

Maka raja itu menyuruh orang memberitahu Rahab, "Orang di rumahmu itu datang untuk mengintip seluruh negeri ini. Bawalah mereka ke luar!"

Rahab menjawab, "Memang ada beberapa orang datang ke rumah saya, tetapi saya tidak tahu dari mana mereka datang. Mereka pergi pada waktu senja, sebelum pintu gerbang kota ditutup. Saya tidak bertanya ke mana mereka pergi tetapi jika mereka dikejar dengan segera, mereka akan dapat ditangkap." (Padahal Rahab telah menyembunyikan dua orang pengintip itu di atas bumbung rumah yang rata, di bawah timbunan batang rami, yang diletakkannya di sana.)

Sebaik sahaja para utusan raja itu keluar dari kota, pintu gerbang ditutup. Mereka mencari pengintip-pengintip itu sampai ke tempat penyeberangan Sungai Yordan. Sebelum pengintip-pengintip itu tidur pada malam itu, Rahab naik ke bumbung rumah dan berkata kepada mereka, "Aku tahu bahawa TUHAN telah memberikan tanah ini kepada kamu. Semua orang di negeri ini takut kepada kamu.

Kami telah mendengar bahawa TUHAN telah mengeringkan Laut Gelagah di hadapan kamu ketika kamu meninggalkan Mesir. Kami juga mendengar bahawa kamu telah membunuh Raja Sihon dan Raja Og, dua orang raja bangsa Amori di sebelah timur Sungai Yordan. Kami ketakutan sebaik saja kami mendengar hal itu. Kami sudah hilang keberanian kerana kamu. TUHAN, Allah kamu sesungguhnya Allah yang berkuasa di langit dan di bumi.

Sekarang bersumpahlah demi TUHAN bahawa kamu akan memperlakukan keluargaku dengan baik sebagaimana aku telah memperlakukan kamu. Berilah aku suatu tanda jaminan supaya aku dapat mempercayai kamu. Berjanjilah kepadaku bahawa kamu akan menyelamatkan ibu bapaku dan saudara-saudaraku lelaki dan perempuan, serta semua keluarga mereka. Janganlah biarkan kami dibunuh!"

Pengintip-pengintip itu berkata kepadanya, "Biarlah Allah membunuh kami jika kami tidak memenuhi janji kami. Jika engkau tidak memberitahu orang tentang kami ini, kami berjanji bahawa apabila TUHAN memberikan negeri ini kepada kami kelak, kami akan memperlakukan kamu dengan baik."

Rumah Rahab dibina pada tembok kota. Oleh itu, dengan menggunakan tali dia menurunkan pengintip-pengintip itu ke luar tembok melalui tingkap. Rahab berkata, "Pergilah ke kawasan perbukitan supaya kamu tidak dijumpai oleh para utusan raja itu. Bersembunyilah di situ selama tiga hari sehingga para utusan itu kembali. Kemudian teruskanlah perjalanan kamu."

Para pengintip itu berkata kepada Rahab, "Kami akan memenuhi janji kami ini menurut permintaanmu. Lakukanlah hal ini. Apabila kami menyerang negeri kamu, ikatkanlah tali merah ini pada tingkap tempat kamu menurunkan kami. Kumpulkanlah ibu bapamu, saudara-saudaramu dan semua sanak keluarga bapamu di rumahmu. Sesiapa antara mereka yang keluar dari rumah ini, kematiannya bukanlah tanggungjawab kami; itu kesalahannya sendiri. Tetapi jika seseorang yang berada di rumahmu cedera, kamilah yang bertanggungjawab. Sebaliknya, jika kamu memberitahu orang tentang kami, bebaslah kami daripada janji kami ini."

Rahab menyetujui hal itu lalu menyuruh mereka pergi. Setelah mereka pergi, dia mengikat tali merah itu pada tingkapnya. Pengintip-pengintip itu pergi ke kawasan perbukitan dan bersembunyi di sana. Para utusan raja mencari mereka di seluruh kawasan luar kota selama tiga hari, tetapi tidak menjumpai mereka. Oleh itu para utusan raja kembali ke kota Yerikho.

Barulah pengintip-pengintip itu turun dari perbukitan, menyeberangi sungai, lalu kembali kepada Yosua. Mereka memberitahu Yosua segala yang telah berlaku kepada mereka. Kemudian mereka berkata, "Kami pasti bahawa TUHAN telah memberi kita seluruh negeri itu. Semua penduduk negeri itu takut kepada kita."

Yosua 6:17

Kota itu dengan segala sesuatu di situ harus dimusnahkan sama sekali sebagai persembahan kepada TUHAN. Hanya Rahab, pelacur perempuan itu dan kaum keluarganya yang akan diselamatkan, kerana dia telah menyembunyikan pengintip-pengintip kita.

Yosua 6:22-25

22  Yosua berkata kepada dua orang yang dahulu bertugas sebagai pengintip, "Pergilah ke rumah pelacur perempuan itu, lalu bawalah dia dan keluarganya keluar seperti yang kamu janjikan kepadanya."
23  Oleh itu mereka pergi membawa Rahab keluar bersama-sama ibu bapa, saudara-saudara, dan semua anggota keluarganya. Mereka menyelamatkan semua orang itu, kaum keluarga Rahab mahupun hamba-hambanya, lalu membawa mereka ke tempat yang selamat, berhampiran dengan perkhemahan Israel.

24  Kemudian mereka membakar kota itu dan semua yang ada di situ sampai musnah, kecuali barang-barang yang dibuat daripada emas, perak, gangsa, dan besi. Mereka mengambil semua benda itu lalu membawanya ke perbendaharaan TUHAN.

25  Tetapi Yosua menyelamatkan Rahab, pelacur perempuan itu dan semua kaum keluarganya kerana dia telah menyembunyikan dua orang pengintip yang disuruh Yosua ke kota Yerikho. (Keturunan Rahab tinggal di negeri Israel sampai hari ini.)†


Teruskan membaca siri Kisah Alkitab 10 untuk mengetahui fakta menarik mengenai susur-galur Yesus.

Catat Ulasan

0 Ulasan