Berdoa dan Berpuasa demi kakak;
Biar mata dia terbuka untuk melihat hal-hal rohani,
Biar telinga dia mendengar kata-kata syurgawi,
Biar hati dia menjadi pasti,
Bahawa dalam Yesus ada hidup yang sejati.
Hari ini adalah hari pertama di mana saya mengambil keputusan untuk berdoa dan berpuasa demi kakak saya, sebelum dia benar-benar secara rasminya beralih agama dan kepercayaannya. Tuhan mengingatkan saya bahawa ini merupakan pertarungan rohani, roh melawan roh, dan saya perlu berdoa agar kehendak Tuhan yang terjadi dan agar kakak saya benar-benar mengalami Yesus itu sendiri.
Hari ini saya diingatkan kepada beberapa hal dan Tuhan telah menuntun saya ke firmanNya:-
4 TUHAN berfirman kepadaku,
5 "Sebelum Aku membentuk engkau dalam rahim ibumu, dan sebelum engkau dilahirkan,
aku sudah memilih dan melantik engkau menjadi nabi bagi bangsa-bangsa."
6 Aku menjawab, "Ya TUHAN Raja, aku tidak pandai bercakap kerana aku masih terlalu muda."
7 Tetapi TUHAN menjawab, "Jangan berkata bahawa engkau masih terlalu muda. Pergilah kepada orang yang Kusuruh engkau pergi, dan beritahulah mereka segala sesuatu yang Kuperintahkan kepadamu.
8 Jangan takut terhadap mereka kerana Aku akan menyertai engkau untuk melindungimu. Aku, TUHAN telah berfirman!"
9 Kemudian TUHAN menghulurkan tangan-Nya, menyentuh mulutku dan berfirman, "Dengarlah, Aku memberi engkau firman-Ku yang harus engkau ucapkan.
10 Pada hari ini Aku memberi engkau kuasa atas bangsa dan kerajaan untuk mencabut dan menjatuhkannya, untuk membinasakan dan menggulingkannya, untuk membina dan menegakkannya."
Yeremia 1:4-10
Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuhan.
Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah!
Filipi 4:4
Tanpa saya sedari, iman saya berkocak dan saya mula mempertanyakan Tuhan, kenapa Dia tidak menjawab doa saya; iaitu agar ahli keluarga saya menerima Yesus sebagai penyelamat sebelum masa mereka tamat. Akhirnya, saya sedar iman saya begitu mudah rapuh untuk tidak bertahan saat melihat salah seorang daripada ahli keluarga saya sendiri bertukar agama.
Meskipun demikian, Tuhan menjawab saya melalui alkitabNya, bahawa Dia telah memilih orang-orang pilihanNya sebelum dilahirkan. Apa yang perlu kita lakukan sebagai orang pilihanNya adalah untuk tetap bersukacita, dalam gembira yang pasti dan juga dalam duka.
Tuhan sudah mengajar saya, saya berharap Tuhan juga mengajar anda!
0 Ulasan